Tuesday, July 12, 2011

Perubahan yang dicari

Assalammualaikum and hai,

Jika kita ingin melakukan perubahan, samada kecil atau pun besar, ianya perlu diterjemahkan oleh diri sendiri dahulu. Kenapa diri sendiri perlu melakukan perubahan? Kerana, mengikut sejarah, di zaman awal penduduk dahulu kala, duduk berjauhan diantara satu sama lain. Namun, hasil gerak naluri mereka (individu), mereka menghasilkan sesuatu yang menarik perhatian saya sendiri ketika mempelajarinya, mereka bergabung dengan duduk disuatu petempatan dan menjadi kuat dan hidup lebih mudah dan efisien bagi mereka menjalankan kehidupan seharian. Sikap pentingkan diri diketepikan, sikap tolong-menolong antara satu sama lain disemai, kerana apa, mereka tahu, hidup mereka bagaikan simbiosis, saling memerlukan antara satu sama lain.

Namun, berlaku juga perubahan, dimana, pabila sudah ramai penduduk, maka perlulah peraturan dan undang-undang dan tak lupa jua, badan atau orang yang perlu mengetuai dan melaksanakannya. Contoh terbaik ialah, zaman Kesultanan Melayu Melaka, dimana adanya Ketua Kampung dan juga pengawal-pengawal yang mengawal kampung. Digabung pula kampung-kampung yang kecil ini, dilantik pula Penghulu, bagi mewakili mereka di hadapan Sultan. Datang British, membawa angin perubahan, dihapusnya kuasa Sultan selaku pemerintah di negeri baginda dan diganti dengan sistem Residen. Dalam menuntut perubahan, rakyat cepat dan mudah terpengaruh dengan propaganda Jepun pula, dimana slogan, Asia untuk Asia, dicanang, yang konon-kononnya baik namun disalah gunakan pula. Niat yang baik tapi ada agenda lain disebaliknya, dengan menggunakan slogan itu, untuk menakluk negara Asia lain. Tamat perang, datang semula British, membawa angin perubahan baharu, konon-kononnya, demi kesejahteraan rakyat jelata. Penduduk asal dan penduduk lain diberi taraf kerakyatan yang sama dan tiada lagi istilah penduduk asal dan keistimewaan, angin Malayan Union ketika itu. Angin perubahan terbaharu ini mengundang marah rakyat, yang DIJAJAH!, setelah sekian lama. Maka, berlakulah rapat umum diseluruh pelusuk negeri Tanah Melayu dan kerajaan British akur akan kemarahan rakyat asal, orang Melayu ketika itu dan menarik sistem ini dan diberi peluang menjadi wakil rakyat dalam kabinet pada tahun 1948. Ditahun yang sama, komunis yang mengganas selama 14hari selepas Perang Dunia Kedua menjadi ancaman, darurat diistihar pula.

Hari bersejarah tanggal 31 Ogos 1957, setelah hasil rundingan Tunku Abdul Rahman Putra dan delegasi dari Tanah Melayu dengan British berjaya, 31 Ogos adalah tarikh keramat kemerdekaan negeri Tanah Melayu/Malaya dari penjajahan British. Bermulah episod negeri kerdil dimuka Bumi Allah ini. Perjalanan yang berliku, merdeka ketika darurat masih berlangsung, hasil ancaman komunis selama 12 tahun dari tahun 1948. Namun, digagahi jua dan tanggal 16 September 1963, adalah tarikh keramat bagi semua rakyat Tanah Melayu/Malaya dan jua rakyat negeri Sarawak dan Sabah, yang mencapai kemerdekaan dari penjajah British, dan lahirlah Malaysia tapi sedih perubahan dilakukan oleh rakyat Singapura, apabila Menteri Singapura, Tuan Lee Kuan Yew, tidak mahu bernaung lagi dibawah Malaysia dan berpisah pada tahun 9 September 1965.

Negara jua pernah diserang oleh jiran serumpun, namun berjaya ditangani. Namun, perubahan berlaku lagi, pada tahun 1969, tanggal 13 Mei, menjadi igauan ngeri buat negara dan menjadi titik berdarah buat semua ketika itu. Rusuhan kaum berlaku di ibu kota Kuala Lumpur.  Perubahan dilakukan demi mengatasi masalah ini, Rukun Negara digubal dan dipersembah kepada rakyat jelata.
1) Kepercayaan Kepada Tuhan
2) Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
3) Keluhuran Perlembagaan
4) Kedaulatan Undang-Undang
5) Kesopanan dan Kesusilaan

Perubahan dilakukan dan Rukun ini digubal khas untuk rakyat memahami, akan kepentingan  perpaduan diantara kaum dalam membentuk negara yang utuh dari segi dasarnya dan jua Raja-Raja Melayu serta undang-undang negara yang perlu dipelihara dan diikuti serta adab sopan orang Timur jua dituntut bersama.

Era perubahan total berlaku pada zaman Tun Dr. Mahathir, yang menuntut rakyat agar berfikiran jauh dan berwawasan tinggi dan mengikut jejak langkah negara Asia Timur yang lain seperti Jepun dalam memacu negara dari negara membangun ke negara maju. Wawasan 2020 digubal dan dibuat pada awal 90-an. Demi harapan, negara berjaya mencapai status negara maju ketika itu. Selepas lebih dua dekad memegang tampuk negara beliau bersara dari era politik secara aktif dan bergiat secara diam ditepi.

Era baharu Tun Abdullah rekod kemenangan bersih pada PRU 11 dengan memenangi majoriti tertinggi dalam sejarah negara apabila hanya beberapa kerusi dimenangi parti pembangkang dan para wakil rakyat ini semakin senang dan alpa hidup mereka dengan pelbagai rang undang-undang dibentang tanpa ada wakil yang penuh didalam dewan sepanjang tempoh Parlimen bersidang dari tahun 2004 hingga 2007 (bagi sesetengah rang undang-udang) dan perubahan pun berlaku, hari yang cerah disangka tiada hujan tapi rupanya hujan ditengah-tengah. Tanggal 8 Mac 2008 menjadi titik tolak angin perubahan Tsunami Politik. Kerajaan yang memerintah selama lebih 50 tahun goyah dan ada yang tumbang dikebanyakan negeri yang dipegang semenjak dari zaman kemerdekaan lagi. Begitulah perubahan-perubahan dari dahulu hingga ke titik ini.

Kini di era pasca Tun Mahathir dan Tun Abdullah, Dato' Seri Najib Tun Razak yang dihimpit pelbagai kontroversi dan pelbagai lagi masalah.  Manusia ingin melakukan perubahan lagi, tapi perubahan yang bagaimana mereka inginkan? Harus diingat, kedudukan/pangkat seseorang itu, tidak lama berada diatas namun ianya bagaikan roda yang bergerak, sekejap diatas, sekejap dibawah. Itulah yang terjadi di tahun 2008.

Apa yang bakal terjadi di PRU 13? Angin tsunami baharu? Adakah kedua-dua belah pihak sudah bersedia akan hal ini? Adakah mereka sudah melakukan cukup PERUBAHAN? Harus diingat, kuasa rakyat itu kuat namun sesungguhnya kuasa ALLAH S.W.T itu lagi kuat dan Dia Maha Adil Dan Maha Bijaksana. Beringatlah selalu, kehidupan tidak sesenang dan sesusah yang disangka, hidup bersederhana seperti Nabi Muhammad S.A.W adalah jalan yang terbaik bagi menunjukkan pada setiap umatnya, betapa peribadinya tinggi, tiadalah mengumpul harta bertimpa-timpa, tiadalah menunjuk-nunjuk, kerana setiap yang dilakukan, biarlah bersederhana sentiasa. Hasil mendengar dan membaca sejarah hidup Nabi Muhammad S.A.W ini, dapat dilihat, dengan kehidupan dan peribadi sebegitu, ianya boleh mengelakkan fitnah dan cercaan orang.

Namun, apa yang penting, apakah perubahan baharu yang dicari? Namun, sedar ataupun tidak, kedudukan kita kini berada dimana? Semuanya terletak ditangan kita, namun awas, jangan terjebak dengan anasir yang bukan sahaja membinasakan kita dan namun orang lain. Melihat kejadian BERSIH 2.0 dan bahan bacaan-bacaan dan video-video peristiwa itu, dapat disimpulkan, kita ini masih lagi ditakuk yang lama dan tiada anjakan paradigma dari penduduk yang asal dizaman dulu kala. Segala permasalahan kini dilakukan dengan cara yang tidak bertamadun dan kedua-dua belah pihak bersalah dalam hal ini kerana membiarkan rakyat dijadikan alat untuk menunjukkan kekuassaan masing-masing. Perlukah kita melakukan ini semua? Jika berlaku rundingan tanpa melibatkan rakyat, bukankah ianya lebih baik? Kuasa dah diberi, untuk menjadi wakil rakyat namun ingin menarik rakyat sekalian ke jalan yang tidak pasti. Perubahan yang dituntut dilaung-laung namun, sedar ataupun tidak, baik kerajaan ataupun pembangkang tidak mendengar keluhan rakyat secara total.

Jika kita ingin melakukan perubahan, perubahan apa yang dicari? Perubahan dari segi pemerintahan negarakah ataupun dari segi apa? Jika ingin menukar kerajaan, adakah pihak satu lagi sudah bersedia? Bagaimana keadaan ini? Apakah perubahan yang kita cari? Pada pendapat saya, kedua-dua pihak tidak menunjukkan mereka boleh meraih sokongan penuh dan jitu rakyat. Kedua-dua mementingkan parti masing-masing, dan saya tak nafikan, di mana-mana negara sekali pun, parti politik itu harus diutamakan. Namun, sedar ataupun tidak, rakyat yang sepatutnya diutamakan. Kita lupakan slogan, kita buatlah kerja, kita berkhidmat kepada rakyat. Jikalau soalan saya yang seterus ini dapat dijawab baik oleh semua wakil rakyat baik di Parlimen atau DUN (tak kiralah kerajaan ke pembangkang), adakah mereka sudah melaksanakan apa yang mereka(parti) janjikan 4 tahun dahulu? Mungkin ada sesetengah wakil rakyat yang baik, sudah melaksanakan hampir 60% janji mereka. Tapi bagaimana dengan majoriti yang lain?? Fikir, fikirkanlah hal ini sebelum kita nak menempelak orang lain, ukur baju dibadan sendiri dahulu. Selesaikan hal kita dahulu, dan berfikir lagi untuk selesaikan masalah penduduk setempat dahulu, utamakan penduduk kawasan dahulu barulah masalah umum negara kerana masalah itu tidak pernah selesai.


Renungkanlah luahan rasa hati ini.....


(sila beri komen akan fakta diatas ini, samada betul atau salah, terima kasih) .
Insan yang kerdil lagi hina ini, membuat luahan hati, perbetulkanlah apa yang salah.

No comments:

Post a Comment